• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Liga Super 2019 : Malik Penyelamat Skuad Penyu


Malik meraikan jaringan penyamaan TFC.
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Penyerang gantian, Abdul Malik Mat Arif muncul sebagai penyelamat Terengganu Football Club (TFC) dalam perlawanan pembukaan Unifi Liga Super 2019 menentang pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), semalam.

Malik yang masuk menggantikan Mohd Shahrul Aizad Zukufli menjaringkan gol pada minit ke-89 untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Turun tanpa tonggak import, Lee Andrew Tuck, TFC kelihatan ampuh apabila mendominasi perlawanan yang berakhir 0-0 pada separuh masa pertama.


Bagaimanapun, tandukan pertahanan PKNS, Nicholas Ryan Swirad pada minit ke-65 nyata mengejutkan tuan rumah.

Pasukan kendalian Irfan Bakti itu mula terumbang-ambing dengan penguasaan bola pasukan lawan selepas ketinggalan gol.

Perlawanan turut dicemari insiden pergaduhan antara penyerang lawan, Chan Vathanaka dan Muhammad Khairu Azrin Khazali menyaksikan Chan serta Igor Zonjic dilayangkan kad kuning.

TFC kembali menguatkan serangan pada penghujung perlawanan yang membuahkan gol penyamaan.
Pergaduhan cemari aksi pembukaan di SSINS.
Tuan rumah turut mendapat peluang merampas tiga mata, namun rembatan kencang penyerang baharu Skuad Penyu, Sanjar Shaakhmedov sekadar melewati palang.

Perlawanan dimeriahkan dengan kehadiran seramai 8,300 penyokong hitam putih yang tidak henti melaungkan sokongan.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.

Kesebelasan utama TFC.


Tag: