Jalur Gemilang
Berita :
Lima Keluarga Kuala Berang Terima Rumah PPTS Baharu
Lima Keluarga Kuala Berang Terima Rumah PPTS Baharu
Muhammad Rafie
26 Nov 26
33

HULU TERENGGANU, 26 November – Lima keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang menerima manfaat menerusi Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) Kerajaan Negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam membantu golongan kurang berkemampuan yang memerlukan kediaman sendiri.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan menyempurnakan perasmian kelima-lima buah rumah berkenaan, semalam.

Menurutnya yang berkesempatan bertemu dengan semua penerima bagi melihat sendiri keadaan kediaman  selain mendengar luahan rasa syukur dan penghargaan mereka terhadap bantuan tersebut.

"Alhamdulillah, kita dapat menunaikan tanggungjawab membantu masyarakat yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri melalui inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu.

"Kita berharap agar semua penerima dapat menjaga rumah ini dengan baik dan menggunakannya sebaik mungkin supaya mereka dapat hidup lebih selesa dan bahagia bersama isteri serta anak-anak," katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Tarmizi Sulong berkata, beliau amat gembira dan bersyukur kerana akhirnya berpeluang memiliki rumah sendiri untuk didiami bersama isteri dan lima orang anaknya.

"Alhamdulillah, memang gembira sangat apabila dapat rumah sendiri. Dengan lima orang anak, dapatlah kami sekeluarga tinggal di rumah sendiri. Terima kasih banyak kepada Dr. Mamad dan semua pihak yang membantu," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bantuan berkenaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan