• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Longkang Baharu Bernilai RM200 Ribu Siap Dibina

MARANG, 28 Ogos - Bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di Taman Kalongan Mas, Medan Jaya, pembinaan longkang baharu sepanjang 100 meter dengan kos sebanyak RM200 ribu telah siap dibina baru-baru ini.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Mohd Sabri Zakaria berkata, kerajaan negeri telah bertungkus lumus membina longkang yang lebih besar dan menambah longkang bagi melancarkan saliran air di kawasan taman tersebut.

"Situasi banjir yang sering berlaku telah mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat, dan setelah melalui beberapa siri perbincangan dengan beberapa jabatan terbabit, satu peruntukan melalui Menteri Besar Terengganu yang juga ADUNRhu Rendang telah diluluskan bagi membina longkang tersebut.

"Difahamkan masalah banjir ini telah berlaku sekian lama dan semakin teruk sehingga terjadinya banjir kilat besar melibatkan beberapa buah rumah apabila tibanya musim tengkujuh lebih-lebih lagi mungkin apabila meningkatnya populasi penduduk sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir melawat lokasi longkang bersama-sama Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria dan Penolong Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Mohd Harizuddin Mohamad.

Menurut Sabri lagi, dengan kos yang agak tinggi dan setelah beberapa tinjauan berkaya yang dibuat, pembinaan longkang ini telah bermula pada bulan Jun lalu serta telah siap sepenuhnya baru-baru ini.

"Sebelum ini, pada setiap tahun kita akan membuat operasi pembersihan laluan air untuk memastikan sistem saliran air berjalan dengan lancar, dan tidak tersumbat. Ianya turut melibatkan pihak Pusat Khidmat Parlimen Marang, dan jabatan seperti Pejabat Daerah Marang.

"Kita harap dengan pembinaan longkang ini, masalah banjir tidak lagi terjadi serta mampu menyelesaikan masalah penduduk sekitar ketika musim hujan berlaku," tambahnya lagi.

 


Tag: