• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

LPT3 Tangani Masalah Trafik, Pemangkin Ekonomi Terengganu


Menteri Besar menuju ke sidang media khas sempena pembubaran Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kasim

Projek Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) menghubungkan Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan yang diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan manifesto Barisan Nasional (BN), kelmarin membuktikan keprihatinan kepimpinan negara kepada keperluan rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pengumuman LPT3 bermula dari Tepoh, Kuala Nerus terus ke Kota Bharu itu menjadi satu lagi hadiah bermakna khususnya dalam menangani masalah trafik di Terengganu, selain projek laluan rel Pantai Timur (ECRL) sebelum ini.

“Selain projek ECRL yang bernilai RM55 bilion dari Kelantan sampai ke Gombak. Lebuh raya (LPT3) ini menjadi satu lagi hadiah yang bernilai RM2.4 bilion. Jadi secara khususnya masalah trafik di Terengganu kita boleh atasi, maka secara tidak langsung kita boleh dekatkan lagi jarak antara Besut, Setiu, Kuala Nerus Kuala Terengganu sehinggalah ke Kemaman.

“Bermakna sekarang ini lengkaplah jalinan pengangkutan Negeri Terengganu dengan adanya lapangan terbang bertaraf antarabangsa, adanya ECRL, LPT2 dan 3, dan jaringan jalan raya yang lain.Semua pembangunan infrastruktur ini menjadi pemangkin ekonomi Negeri Terengganu,”katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media khas sempena pembubaran Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Razif berkata, beliau juga percaya manfaat daripada pembangunan itu cukup besar dan secara tidak langsung merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan Terengganu.

Menurut beliau lagi, inisiatif baharu itu menjadi satu lagi cerita kejayaan Terengganu yang berjaya direalisasikan menerusi keyakinan Perdana Menteri terhadap pentadbiran kerajaan negeri masa kini.




Tag: