• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Lukisan Mural Jadi Tarikan Baru Di Kemaman

KEMAMAN, 16 April - Lukisan-lukisan mural yang sangat cantik dan kreatif menggambarkan identiti daerah ini telah menjadi tarikan baru bagi masyarakat setempat dan masyarakat luar untuk datang ke sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dalam menjayakan kewujudan mural ini.

"Pada pendapat saya, secara tidak langsung, ianya telah mewujudkan satu elemen pelancongan baru di Bandar Cukai khususnya.

"Lorong tersebut akan menjadi satu tarikan baru di bandar ini yang mana orang ramai boleh mengabdikan kenangan dengan bergambar di lukisan-lukisan ini.

"Saya amat berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan di dalam menaikkan identiti daerah Kemaman untuk lebih dikenali oleh masyarakat luar," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.

Hanafiah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Mural dan Laman Rumohku Comey serta Selfie & Tiktok Ewaste dan Barangan Kitar Semula yang diadakan di Medan Letak Kereta 6, Jalan Sulaimani, kelmarin.

Dalam majlis berkenaan, Hanafiah turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada semua pemenang. Pertandingan ini diadakan bersempena Ulang Tahun Pemasyhuran MPK Kali ke-20.