• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Lupakan Persengketaan, Pulanglah Berhari Raya


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 30 Mei - Penduduk Bukit Besi diminta agar lupakanlah persengketaan yang lalu sekiranya tercetus di antara ahli keluarga dengan pulang ke kampung halaman bagi menjadikan sambutan Aidilfitri meriah.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berharap agar semua perantau di kalangan anak jati Bukit Besi supaya meluangkan masa berharga ini untuk pulang berhari raya.

"Agar dapat memberi nikmat kegembiraan dan kemenangan di hari raya, agar dapat terubat rindu di hati ibu dan ayah yang mengharapkan kepulangan anak pada hari raya untuk bergembira dan mengecapi nikmat anugerah syawal.

"Kerana itu jangan diturutkan hati dan perasaan, persengketaan yang lama yang membawa kepada merajuk dan sebagainya hilangkanlah, apatah lagi yang berkecil hati dengan ibu bapa, jadikanlah hari raya hari untuk berkumpul seluruh ahli keluarga, sanak saudara dan saling bermaaf-maafan. Sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan, maka bermaafan dan berbaiklah semula," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menyampaikan sumbangan kepada warga emas, di Kampung Bukit Besi, di sini, semalam.

Ghazali berkata, hari raya waktu untuk bergembira dan jangan biarkan kedua-dua ibu bapa berduka nestapa.

"Apatah lagi yang tinggal  seorang apabila kematian suami atau isteri, maka sudah tentu rasa sedih akan menyelubungi diri kerana anak-anak tidak balik berhari raya.

"Hadirkanlah kegembiraan kepada mereka, besar ganjarannya di sisi Allah SWT," katanya.


Pada masa yang sama, beliau mengharapkan agar perantau dari DUN itu sudah membeli tiket pulang ke kampung lebih awal dan bersedia pulang serta tidak tertipu dengan ulat tiket yang mengambil kesempatan.

"Kepada mereka yang pulang dengan kenderaan, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, memandu secara berhemah dan banyakkan berzikir.

"Jika mengantuk berhentilah di mana-mana hentian Rehat dan Rawat (RNR).. jangan jadikan lebuh raya umpama litar perlumbaan.

"Semoga semuanya selamat pulang ke kampung halaman, bergembiralah di hari raya nanti dan nikmatilah kebesaran Allah atas nikmat kemenangan yang diberikan," ucap beliau.

Tag: