• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Madinah Ramadan Sedia Pusat Penjagaan Kanak-Kanak

KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Ibu bapa yang mahu untuk menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan tidak perlu bimbang untuk membawa anak-anak ruangan khas penjagaan kanak-kanak disediakan kerajaan negeri.

Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah berkata, inisiatif itu bagi memastikan ibu bapa dapat menunaikan solat sunat tersebut dengan tenang dan selesa tanpa merasa bimbang mengenai keselamatan anak-anak.

"Kita juga menyediakan petugas (sukarelawan) untuk menyelia dan mengawal kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa yang memiliki anak-anak yang masih kecil berpeluang untuk beribadat.

"Ini antara pendekatan yang kita ambil bagi meningkatkan fungsi masjid  dan memastikan masyarakat mesra dan mengimarahkannya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual di konti Manis FM, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Ustaz Mohd Zulkhairi berkata apa yang akan menjadikan Madinah Ramadan pada kali ini lebih menarik adalah pihak penganjur dan pihak Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus ialah turut menyediakan Soopa Doopa yang akan menambah keseronokan anak-anak yang hadir.

"Jadi ibu bapa yang selama ini terfikir jika hendak solat tarawih risau anak-anak akan menggangu para jemaah lain jika dibawa tidak perlu lagi bimbang dengan adanya ruang khas untuk anak-anak bermain ini," ujarnya.