• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Madrasah Khairul Insan Jenagor Berpotensi Jadi Hab Pelancongan Islam


Madrasah Khairul Insan, Jenagor, Hulu Terengganu yang mempunyai pelbagai tarikan kebudayaan serta sejarah ketamadunan Melayu lama berpotensi dimajukan sebagai hab pelancongan Islam di negeri ini.

Pengerusi Homestay Negeri Terengganu, Md Azmi Aziz, berkata, madrasah itu dipilih sebagai merealisasikan saranan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang ingin memajukan perlancongan berkonsepkan islamik di Terengganu.

"Saya ada mengikuti seminar hala tuju pelancongan baru-baru ini di mana fokus kerajaan negeri adalah Terengganu sebagai hab pelancongan Islam.

"Jadi saya ambil kesempatan apabila dalam seminar tersebut ada menyebut tentang makam bersejarah yang terdapat di madrasah ini dan saya rasa ia sesuai untuk dimasukkan dalam pakej pelancongan.

"Satu keunikan untuk sampai ke sini kita terpaksa menaiki perahu, melihat penghuninya berpakaian melayu lama, adanya pelbagai aktiviti kesenian dan ia  berpotensi untuk diiklankan ke Singapura, Indonesia dan Brunei,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Madrasah Khairul Insan, Jenagor, hari ini sempena lawatan sambil belajar yang melibatkan beberapa agensi dan persatuan.

Md. Azmi Aziz


Menurut Azmi, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Madrasah untuk melaksanakan hub ini dalam pakej supaya selaras dengan konsep islam dan sesuai dengan bajet kerajaan negeri.

"Untuk penginapan, kita akan serahkan kepada pihak Madrasah membinanya sama ada menggunakan buluh atau kayu asalkan selesa diduduki dan tugas kami membantu untuk promosi.

"Pendapatan yang diperolehi akan disalurkan terus kepada Madrasah sebagai tambahan kewangan untuk meneruskan aktiviti harian mereka,"ujarnya lagi.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Insan Prihatin Terengganu Darul Iman (Hati) Mohd Ariff Yong, 71, berkata pihaknya berbesar hati apabila ada pihak tertentu yang ingin mempromosikan Kampung Belahan atau lebih dikenali sebagai Madrasah Khairul Insan sebagai hab pelancongan slam.

Tambahnya, sebelum ini mantan Ahli Dewan Undangan Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang sudah melihat potensi madrasah ini sebagai tempat pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pelawat dan orang ramai.


Tag: