• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Madrasah Moden Maidam Tubuh PIBG Bukti Cakna

Ustaz Maliaman Kassim ketika berucap merasmikan Majlis Penubuhan PIBG buat julung kalinya Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), semalam (10 Oktober).
Oleh: Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang penting dalam membantu pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, wujudnya persatuan ini memberi saham yang besar kepada sekolah.

"Setiap ibu bapa mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang tertentu, jadi menjadi satu kerugian sekiranya tidak memanfaatkan idea untuk meningkatkan prestasi sekolah," ujarnya.

Menurutnya, PIBG berfungsi sebagai entiti utama yang membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi pendapat serta maklumat dalam membantu pihak sekolah.


"Ianya penting dalam pembangunan modal insan dengan memberi tumpuan kepada aspek disiplin dan sahsiah untuk melahirkan generasi pelajar yang berkualiti dari segi rohani, jasmani serta intelektual.

"Marilah kita saling bekerjasama dalam satu organisasi dengan tujuan yang harmoni bagi melengkapi antara satu sama lain supaya kecemerlangan pelajar dapat dicipta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penubuhan PIBG buat julung kalinya Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), semalam (10 Oktober).

Ustaz Maliaman Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil turut mengingatkan bahawa kejayaan pelajar tidak boleh diletakkan pada kecemerlangan akademik semata- mata.

"Walaupun anak-anak kita tidak cemerlang dalam akademik, janganlah membandingkan antara mereka, kerana nilai yang sebenar terletak pada akhlak" katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada PIBG yang banyak memberi sumbangan bagi pembangunan dan kemudahan madrasah tersebut.

Tag: