• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Mahu Lihat Anak Didik Jadi Juruterbang


MARANG, 23 Februari - "Saya mengharapkan suatu hari nanti akan ada salah seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Nangka memegang jawatan profesional dalam bidang penerbangan,"

Itulah harapan tinggi Guru Penyelaras Kelab Aeronautik SK Gong Nangka, Syed Hasan Syukri Tuan Hadi terhadap anak didiknya.

Katanya, kelab yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid berkenaan ilmu yang berkait dengan teknologi dan kerjaya dalam bidang penerbangan sama ada sebagai juruterbang, jurutera dan sebagainya.

“Bagi menanam minat murid terhadap bidang penerbangan, kita turut membina satu sudut ruangan di pusat sumber sekolah ini berubah menjadi simulator pesawat penerbangan yang lengkap dengan aktiviti simulasi dan ujian penerbangan.

“Kos keseluruhan set binaan simulator itu hanya RM5,000 dengan menggunakan barangan terpakai seperti tempat duduk kereta dan komputer lama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman melawat Galeri Aeronautik Ibnu Firnas yang ditubuhkan kelab itu.

Syed Hasan Syukri berkata, untuk menimbulkan minat juga, ahli-ahli kelab seramai 22 orang ketika ini dikehendaki memakai uniform seperti juruterbang pada setiap kali perjumpaan semasa aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar sekolah dijalankan.

Terdapat dua pesawat kawalan jauh, lapan model pesawat sayap pegun dan tiga model helikopter dipamerkan di galeri itu malah pengunjung akan diberi penerangan mengenai kaedah pengendalian pesawat semasa pelepasan, navigasi dan pendaratan yang selamat,” ujarnya.


Malah katanya, kelab itu turut mendapat khidmat nasihat teknikal daripada seorang juruterbang Qatar Airways dan seorang jurutera simulator penerbangan dari syarikat pengendali antarabangsa.

Katanya, secara tidak langsung diharapkan projek simulator berkenaan dapat memberikan motivasi kepada anak murid untuk terus meningkatkan prestasi dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) terutama yang berkaitan dunia penerbangan.

“Pada masa sama, kita turut memberi penekanan Islamik termasuk memberi pendedahan dan mengaitkan perspektif Islam dalam konteks penerbangan kepada mereka,” ujarnya.

Tag: