KUALA TERENGGANU, 19 Ogos- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tahun ini mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM14 juta menerusi program Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) 2024.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, KAHA merupakan salah satu kaedah pihaknya mengagihkan wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin yang layak selain skim bantuan sedia ada.
“Pada tahun ini MAIDAM memperuntukkan sebanyak RM14 juta bagi agihan KAHA di mana fasa pertama melibatkan RM10.2 juta kepada 18,761 Ketua Isi Rumah (KIR) yang disalurkan terus ke akaun penerima.
“Manakala baki sebanyak RM3.8 juta akan diagihkan pada fasa berikutnya,” ujar beliau ketika ditemui pemberita pada majlis ‘Flag Off’ Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin MAIDAM (KAHA) 2024 yang disempurnakan Pesuruhjaya Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin di Perkarangan Kompleks Seri Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, penerima KAHA tersebut merupakan penerima bantuan bulanan dan sara hidup MAIDAM bermula awal Januari lepas sehingga hujung tahun ini.
"KAHA mula diperkenalkan pada tahun 2022 di mana konvoi motosikal diadakan serentak di seluruh Terengganu melibatkan semua daerah dan menariknya, penganjuran KAHA pada tahun ini adalah bersempena dengan Sambutan 75 Tahun MAIDAM.
“Jumlahnya bergantung kepada yang berhak, terdapat tiga kategori bantuan iaitu untuk isi rumah tunggal sebanyak RM300, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700).
“Besarlah harapan MAIDAM agar agihan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan asnaf selain menimbulkan rasa ingin memajukan ekonomi keluarga mereka,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penerima Fatin Nabila Taim ,23, berkata, bantuan tersebut memberikan sedikit kelegaan buat dirinya yang juga pencari nafkah tunggal dalam keluarga.
Katanya, selain membeli barangan keperluan, duit KAHA boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatan kakak dan dua adiknya yang merupakan (Orang Kelainan Upaya).
“Sumbangan ini kami terima dengan penuh kesyukuran memandangkan saya terpaksa ambil alih menjaga keluarga selepas ayah meninggal dunia dua bulan lalu,” ujarnya yang juga OKU masalah pembelajaran.