• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

MAIDAM Sumbang RM13.9 Juta Bantu 25,887 Golongan Asnaf

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyumbang RM13.9 juta bagi meringankan beban golongan asnaf di negeri ini untuk menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Ismail, berkata seramai 25,887 golongan asnaf akan menerima bantuan tersebut.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,924 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima bantuan sebanyak RM300 membabitkan peruntukan kira-kira RM2.1 juta.

"Selain itu, 7,696 KIR pula menerima RM500 membabitkan peruntukan kira-kira RM3.9 juta dan 11,267 menerima RM700 seorang membabitkan peruntukan kira-kira RM7.9 juta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, kelmarin.

Menurut Shaikh Harun, KIR atau bapa dan ibu tunggal menerima bantuan RM300 manakala KIR yang mempunyai tanggungan dua atau tiga orang menerima bantuan RM500.

Tambahnya, KIR yang mempunyai tanggungan melebihi empat orang pula menerima RM700.

Jelas beliau lagi, bayaran bantuan bagi meringankan beban golongan asnaf akan dikredit terus ke akaun penerima secara berperingkat.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: