• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Mangsa Ribut Terima Sumbangan KETENGAH

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 8 Julai-Sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang rosak dipukul ribut baru-baru ini menerima sumbangan daripada pihak KETENGAH.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif KETENGAH yang bersama-sama mengambil peranan membantu mereka yang ditimpa musibah.

“Minggu lepas sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah KETENGAH iaitu di Kampung Padang Pulut, Delong dan Bukit Merah telah rosak disebabkan ribut dan KETENGAH dengan diketuai Pengerusinya, Datuk Razali Idris telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa ribut tersebut.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana KETENGAH sangat mengambil berat kawasan di bawah kelolaan mereka di mana Ramadhan lalu, KETENGAH juga telah menyampaikan sumbangan zakat kepada keluarga asnaf di kawasan tersebut," ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Ribut Wilayah Ketengah, baru-baru ini.

Sementara itu, mangsa ribut Azira Pa, 34 berkata, ketika kejadian dia yang tinggal bersama dua anaknya yang masih kecil kerana suaminya bekerja di Melaka berasa  sangat cemas apabila atap rumahnya diterbangkan angin ribut ketika suaminya tiada di sisi.

"Masa tu lepas asar, saya terkejut dan ketakutan bila atap rumah tiba-tiba terbang, alhamdulillah jiran datang membantu," cerita ibu dua anak yang sedang mengandung anak ketiga.

Bagi warga emas, Tengah Abdul Rahman, 73, berkata dia menggeletar apabila menyedari atap rumahnya tiba-tiba terangkat dan diterbangkan ribut.

"Tambahan mak cik ada sakit, sakit paru-paru, mari rasa tidak bermaya," ujarnya sambil berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang menghulurkan sumbangan untuk membaiki kerosakan bumbung rumahnya.