• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1420H/1999, Masnah Awang, 73 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu bagi tahun ini.

Lebih mesra dengan panggilan 'Mek Wook', Masnah melibatkan diri dalam bidang taranum al-Quran sejak 1966 dan menyertai Majlis Tilawah Al-Quran dari tahun 1985 hingga 2004.

Dengan pengalaman luas yang dimiliki, ibu kepada lapan orang anak ini berkhidmat sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selain berperanan sebagai tenaga pengajar di Pejabat Daerah Marang.

Bagi menghargainya, pihak kerajaan telah menganugerahkan beberapa pingat antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1997 dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) pada tahun 2000.

Hasnah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu 2024 yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman pagi ini.

Selain menerima trofi, Masnah turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM20,000.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Masnah merakam rasa terharu atas penghargaan yang diterimanya. Beliau turut menyifatkan usahanya kini hanyalah untuk terus menyuntik semangat kepada generasi muda untuk menanam minat mendalami al-Quran.

 


Tag: