Berita :
Marina Dome Pulau Poh Cipta Sensasi ‘Wedding’ Mewah Atas Tasik
Marina Dome Pulau Poh Cipta Sensasi ‘Wedding’ Mewah Atas Tasik
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 12 Mei – Keindahan semula jadi Tasik Kenyir bakal membuka lembaran baharu industri pelancongan negeri apabila Marina Dome Pulau Poh dijangka muncul sebagai antara destinasi perkahwinan premium paling eksklusif di Malaysia khususnya di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad berkata dengan berkonsepkan ‘destination wedding’ berlatarbelakangkan panorama tasik dan kehijauan alam semula jadi, lokasi tersebut bukan sahaja menawarkan pengalaman majlis yang lebih privasi dan mewah, malah berpotensi menarik kehadiran pelancong berpendapatan tinggi dari dalam serta luar negara.

Tambah beliau, keunikan Marina Dome Pulau Poh yang dikelilingi panorama air tasik serta landskap semula jadi memberi nilai tambah tersendiri kepada pasangan pengantin yang mahukan pengalaman perkahwinan luar daripada kebiasaan.

"Kita menyediakan empat pakej dengan pelbagai tawaran menarik dan terdapat juga pakej dengan harga serendah RM35 sekepala untuk 500 tetamu.

"Harga pakej juga masih boleh dirunding berdasarkan permintaan dan pihak kami  sentiasa bersedia membantu mempermudahkan urusan semua pihak yang ingin berurusan," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui baru-baru ini.

Malah menurut Awasi lagi, pembangunan tersebut dilihat mampu meletakkan Tasik Kenyir sebagai ‘International Wedding Venue’ baharu di rantau ini sekali gus memperkukuhkan imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan premium negara.

"Lebih menarik, pembukaan hotel baharu di Pulau Poh yang dijadualkan beroperasi pada Julai depan dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor hospitaliti dan ekonomi pelancongan di Tasik Kenyir.

"Kemudahan penginapan yang menyediakan 150 bilik itu bakal melengkapkan keperluan penganjuran pelbagai acara eksklusif termasuk akad nikah, resepsi, makan beradab, sesi fotografi pra-perkahwinan serta program keluarga dalam suasana resort tasik yang lebih tenang dan eksklusif," ujarnya.

Beliau turut menambah, selain segmen perkahwinan, lokasi itu turut berpotensi menjadi pusat penganjuran pelbagai acara berskala besar dan kecil seperti festival, ekspo, program korporat, majlis makan malam, acara hiburan serta karnival pelancongan sama ada secara tertutup atau terbuka.

"Gabungan fasiliti moden dan keindahan alam semula jadi dijangka membuka peluang pasaran baharu dalam industri pelancongan negeri selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi peningkatan jumlah pelawat, tempahan penginapan, perkhidmatan acara dan peluang pekerjaan komuniti sekitar," katanya.

Jelasnya, perkembangan itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Tasik Kenyir sebagai antara produk pelancongan utama negara yang kini bergerak ke arah segmen pelancongan eksklusif dan bernilai tinggi.

Justeru itu, beliau berkata dengan tarikan alam semula jadi yang sukar ditandingi serta konsep acara premium yang diperkenalkan, Marina Dome Pulau Poh  diyakini mampu menjadi ikon baharu pelancongan dan ekonomi Terengganu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan