• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Masalah Banjir Di Laluan Utama Kuala Berang Akan Diatasi-Dr. Mamad

Dr Mamad Puteh

Oleh: Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU  19 November -Kerajaan negeri sedia membantu menyelesaikan masalah  laluan utama Kuala Berang yang sentiasa  terputus hubungan dengan laluan dari kedua-dua arah dinaiki air apabila hujan lebat berterusan pada musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata kerajaan negeri telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana laluan yang bermasalah ini merupakan jalan persekutuan dan menjadi tanggungjawab JKR persekutuan.

"Cadangan dari pihak JKR adalah dengan menaikkan aras jalan di laluan Kampung Batu 24 dan membuat jambatan baru di Sungai Getang dengan anggaran kos kasar sekitar RM20 juta.

"InsyaAllah kita akan usahakan perkara ini dengan sebaik mungkin kerana kerajaan persekutuan juga sedang mengalami masalah kewangan,”ujar beliau ketika berucap dalam Program Permata Maulidur Rasul bagi Daerah Hulu Terengganu di Hospital Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu merangkap Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Hj Muhyidin Abd Rashid; ADUN Ajil, Maliaman Kassim; Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu dan Pegawai Agama Hulu Terengganu, Tuan Junaidi Tuan Ismail.



Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata masalah ini berlaku setiap kali musim banjir apabila penduduk dari Ajil selalu tersekat untuk ke hospital dengan kenaikan air di Sungai Getang, manakala penduduk dari Kuala Berang dan Telemong selalu tersekat di laluan Kampung Batu 24.

Dalam masa yang sama, juga beliau berharap agar semua kakitangan di sini (hospital) dapat bertugas dengan baik, sabar dengan kerenah orang yang sakit dan sikap pelawat walaupun terpaksa berhadapan pelbagai ragam.

Dr. Mamad juga berharap dengan adanya program tahunan seperti ini dapat mengingatkan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sempena kelahiran beliau dan dalam masa yang sama juga, dapat mengeratkan hubungan antara pimpinan negeri, kakitangan hospital serta pesakit.



Tag: