• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Masalah Bekalan Air Di Setiu Bakal Berakhir

Oleh : Muhammad A. Rahman

SETIU, 11 Jun - Masalah gangguan bekalan air yang sering menghantui penduduk di Parlimen Setiu akan diselesaikan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata kekurangan loji air dan keusangan paip air di kawasan terbabit antara punca gangguan bekalan  air kerap berlaku.

“Hanya satu sahaja loji air iaitu Loji Air Sungai Tong II dan ada keperluan untuk menukar paip-paip lama yang perlu diganti baharu.

“Hari ini saya dimaklumkan akan dibuka balik Loji Air Bukit Kemudu selepas mendapat kelulusan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),  penggantian paip air yang baharu juga akan dibuat secara berperingkat, In Sha Allah ia akan dapat menyelesaikan sebahagian besar isu air ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri satu perbincangan bersama pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) di Pejabat SATU Daerah Setiu semalam.

Turut hadir dalam dalam perbincangan itu ialah Ketua Teknikal SATU Setiu, Khairil Azizi Nodin, Ketua Bisnes SATU Setiu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman,

Dalam masa yang sama, Shaharizukirnain memohon agar masyarakat di sekitar daerah berkenaan bersabar sehingga keadaan berjaya dipulihkan seperti biasa.

“Penduduk Setiu diharap dapat memahami keadaan yang berlaku dan memerlukan sedikit masa dalam proses membaik pulih ini,” tambah beliau.


Tag: