• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Masalah Internet Di Kampung Kuala Por Bakal Berakhir

Oleh : Anis Marzuki

HULU TERENGGANU, 1 Julai – Masalah capaian internet yang kritikal di Kampung Kuala Por kini menemui jalan penyelesaian apabila kerja-kerja menaiktaraf menara telekomunikasi daripada rangkaian 3G kepada 4G bakal dijalankan.

Susulan aduan daripada penduduk setempat, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Mohd Fairus Muhamad telah melawat kawasan terbabit baru-baru untuk melihat tindakan yang perlu dilakukan.

Menurut Mohd Fairus, segala masalah menghantui penduduk sejak sekian lama itu bakal berakhir apabila proses tender untuk projek itu sedang berjalan.

“Untuk makluman, Suruhanjaya Komunikasi di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam peringkat untuk menaiktaraf menara telekomunikasi tersebut.

“Menjelang hujung tahun ini, keseluruhan penduduk di Kampung Kuala Por dan kawasan sekitarnya akan menikmati perkhidmatan 4G,” ujarnya ketika ditemubual oleh pegawai media Dun Kuala Berang kelmarin.

Turut hadir ke lapangan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau merangkap Ahli Dewan Undangan Dun (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

 Tambahnya, situasi norma baharu yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, mesyuarat dan bekerja dari rumah memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi dengan rangkaian minima 4G.

“Setelah projek ini disiapkan, masalah capaian internet tersebut akan dapat diatasi dan kualiti liputan akan bertambah lebih baik, kita harap pengguna di seluruh kawasan ini akan menggunakan perkhidmatan internet dengan baik,” katanya.

Dr Mamad berkata, di bawah program Jendela fasa 1, sebanyak 65 menara baru dalam perancangan untuk dibina di seluruh negeri Terengganu di mana ia sedang dalam peringkat tender.

“Selain itu, di bawah projek yang sama, 9 menara baru dan sebanyak 409 lokasi naik taraf daripada liputan 3G kepada 4G sedang dalam pelaksanaan di seluruh negeri Terengganu.

“Kita sedang berbincang untuk menambah ‘fiber optic’ di kawasan Hulu Terengganu supaya kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai mempunyai unifi di kawasan rumah masing-masing,” jelas beliau.