• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Masalah Mental Bukan Sakit Mental- MB


Ahmad Razif meninjau pameran yang disediakan penganjur. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim
Laporan media berhubung satu daripada empat rakyat di Terengganu mengalami sakit mental adalah tidak tepat, sebaliknya jumlah itu merujuk kepada mereka yang mengalami masalah mental.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata, berdasarkan fakta Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), masalah mental berkenaan akibat pelbagai gangguan dan faktor seperti kesempitan ekonomi, tekanan hidup, masalah keluarga, penceraian dan juga kesihatan.

“Masalah itu dialami kebanyakan masyarakat dan apa yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat Negeri, Roslee Daud disalahtafsir pihak media,”katanya


Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis merasmikan Gallery Walk Makmal Transformasi Ekonomi Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.

Makmal itu telah mengenalpasti 18 projek keutamaan atau EPP (Entry Point Projects) dengan 71 projek yang berlainan.

Berdasarkan jumlah itu 13 projek yang bersifat “Low Hanging Fruits” akan dilaksanakan segera. 



Ahmad Razif memberitahu, agenda transformasi ekonomi negeri Terengganu dijangka merubah lanskap ekonomi negeri dengan nilai pelaburan RM3.5 billion dan 6,795 peluang pekerjaan bakal diwujudkan.

Katanya, keutamaan juga diberi kepada program perumahan dan peluang perniagaan kepada rakyat di samping kemajuan pembangunan fizikal dan kesan limpahan ekonomi.

“Selain itu, fokus juga adalah dalam mencari sumber baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas semata-mata kerana dari segi jangka panjang, ianya tidak mapan,”katanya.



Tag: