• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Masjid Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Sehenti

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Masjid perlu berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop centre) kepada masyarakat, bukan hanya bertindak sebagai pusat keagamaan semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata bahawa fungsi masjid perlu diperluas, tidak hanya dihadkan hanya untuk aktiviti keagamaan tetapi harus juga mencakupi aspek-aspek lain.

"Seperti mana pada zaman Rasulullah SAW dahulu, kita lihat bahawa masjid tidak hanya bertindak semata-mata sebagai tempat sembahyang sahaja bahkan juga mencakupi aspek lain seperti pusat kemasyarakatan, pusat ekonomi dan lain-lain.

"Oleh sebab itu, saya sangat menyokong sebarang usaha untuk mendekatkan institusi masjid ini kepada seluruh lapisan masyarakat", ujarnya.

Suasana sekitar agihan juadah berbuka di hadapan Masjid Ladang.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Madinah Ramadan Peringkat Daerah Kuala Terengganu 2024 di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), baru-baru ini.

Zuraida yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu menyeru rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus.

"Saya menjemput rakyat Terengganu untuk hadir ke Madinah Ramadan Terengganu yang diadakan sepanjang Ramadan ini, insha-Allah pelbagai pengisian menarik menanti di sana," tambahnya lagi.

Zuraida mengagihkan juadah berbuka.