• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Masyarakat Cina, India Gembira Tinggal di Terengganu

Ahmad Shah bersama Amzad, pegawai khas Hal Ehwal Bukan Islam MB Terengganu, Dr Balachandran serta penduduk Kg. Cina.


Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 22 September- Sekalipun bergelar golongan minoriti di Terengganu, rata-rata masyarakat Cina dan India melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak mengabaikan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, sepanjang Program Agihan Kuih Bulan di Kampung Cina yang berlangsung hari ini, beliau mendapat pelbagai komen positif daripada sebahagian masyarakat bangsa berkenaan yang sempat disantuninya.

“Saya sempat berbual dengan beberapa orang penduduk (Cina dan India) di sini, kesemuanya menyatakan terima kasih kepada pimpinan negeri kerana wakil rakyat (ADUN & Ahli Parlimen) kawasan sering turun bertanya khabar dan tidak mengasingkan mereka dari manfaat yang diberikan Kerajaan Terengganu” katanya ketika ditemui pemberita dalam program di lokasi berkenaan, hari ini.
 
Ahmad Shah mengagihkan kuih bulan kepada penduduk yang ditemui.


Beliau yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata, selain meraikan masyarakat kampong tersebut, program itu juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan di antara kaum.

“Jika dilihat di laman media sosial kebelakangan ini, terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggunjawab menanamkan persepsi bahawa PAS adalah parti yang rasis dan menerapkan perkauman.

“Namun, program hari menjadi bukti wujudnya keharmonian antara pelbagai kaum dalam negeri yang ditadbir oleh kerajaan PAS, sekali gus menangkis dakwaan kotor musuh politik,” jelasnya.

Program Agihan Kuih Bulan pecuma sempena ‘Moon Cake festival 2019’ itu merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim dengan kerjasama bersama ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Cina dan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu.



Tag: