• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Masyarakat Cina Sinonim Dalam Kehidupan Saya - Abdul Hadi

MARANG, 23 Januari – Masyarakat kaum Cina bukanlah asing dalam kehidupan Ahli Parlimen Marang yang telah menjadi tradisi keluarganya untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina saban tahun biarpun secara sederhana.

Beliau yang juga Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, datuknya memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam atau pun tidak seterusnya menjadi sebahagian daripada keluarganya.

"Ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur, datuk saya pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, ketika itu beliau merupakan seorang penghulu kampung. 

"Kebetulan pula salah seorang menantu saya sendiri daripada kaum Cina, menunjukkan hubungan keluarga kami dengan masyarakat kaum Cina bukanlah perkara baru", ujarnya melalui satu hantaran di Laman Rasmi Facebook beliau semalam.

Beliau turut menyeru buat semua rakyat Malaysia agar menjadikan perayaan ini sebagai salah satu cara untuk saling mengeratkan lagi silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan kaum di tanah air tercinta ini.

"Selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama pimpinan PN dan GERAKAN pagi tadi, saya terus pulang ke Kampung Rusila bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama anak menantu sekeluarga," katanya.
 

 


Tag: