• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Masyarakat Perlu Lapor Aktiviti Bom, Tuba Ikan

KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri menyeru masyarakat menjadi 'mata dan telinga' pihak penguatkuasa bagi membanteras aktiviti haram seperti bom, tuba dan karan/ elektrik kan daripada berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, masyarakat perlu sedar bahawa sumber perikanan yang ada hari ini perlu diwariskan kepada generasi akan datang.

"Ini adalah kegiatan yang menyumbang kemusnahan sumber perikanan darat. Semuanya adalah kesalahan berdasarkan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988 pindaan 1993. Kita ada undang-undang yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah. 

"Tetapi dari segi geografi, Negeri Terengganu mempunyai sungai, parit, tasik dan kolam yang sangat luas. Tak mudah untuk dipantau dan dikawal 24 jam secara efektif oleh pihak berkuasa. Sebab itu, kerjasama masyarakat setempat sangat penting dalam membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan (DOF) dan Polis Marin bagi memelihara ekosistem dan sumber perikanan. 

"Masyarakat setempat perlu jadi mata dan telinga bagi menyalurkan aduan jika mendapat maklumat berkenaan aktiviti terlarang. Sumber yang ada bukan hanya untuk  makan hari ini sahaja. Ia perlu dijaga untuk diwarisi oleh generasi anak cucu nanti. Hendak buat apa-apa, kena fikir apa yang akan jadi di belakang hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambahnya, di samping pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat, rondaan secara berkala turut dipergiat DOF dan Polis Marin di kawasan titik panas aktiviti terlarang berkenaan seperti Tasik Kenyir, Sungai Terengganu dan Sungai Kemaman.

"Pertama, kita kawal supaya tidak rosak dan kedua, kita kena tambah sumber melalui program pelepasan anak benih ke perairan umum.

"Dalam tempoh tiga tahun terakhir, tahun 2021 kita telah melepaskan 1,700,548 anak benih, tahun 2022 sebanyak 660,100 anak benih dan tahun lalu sebanyak 374,215 anak benih," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri secara keseluruhannya telah melepaskan sebanyak 2,734,863 anak benih terdiri daripada antaranya spesis Lampan Sungai, Baung, Kelah, Udang Galah, Patin, Siakap, Haruan, Sebarau serta Ketam Nipah.

Beliau berharap usaha kerajaan itu dapat menambah sumber perikanan dan menjadi salah satu sumber rezeki nelayan darat.

 


Tag: