• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Masyarakat Tionghua Dungun Dapat Kuih Bulan Percuma

DUNGUN, 23 September - Masyarakat Tionghua di sekitar bandar Dungun menerima kuih bulan secara percuma daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wan Hapandi Wan Nik. 

Wan Hapandi Wan Nik berkata, edaran kepada masyarakat Cina itu merupakan simbolik bagi meraikan perpaduan antara kaum yang wujud di Terengganu

Katanya, ia juga bagi menyambut perayaan kuih bulan yang berlangsung pada bulan ini.

“Kita tidak jumud. Kita meraikan kepelbagaian budaya termasuk masyarakat Cina yang memang rapat dengan orang Melayu sejak dahulu lagi.

"Rata rata masyarakat menerima dan menyambut baik pemberian ini dan turut memuji serta mengucapkan terima kasih,” katanya selepas mengagihkan kuih tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan adalah aktiviti tahunan pihaknya yang turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Dungun. 

"Kita akan meneruskan program ini pada masa akan datang kerana ia terbukti dapat mengeratkan hubungan kami dengan masyarakat Tionghua," tambah beliau. 

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Dungun berkata, perayaan Kuih Bulan itu disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan mengikut kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September.

“Kami sentiasa mendekati masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira bangsa dan  agama untuk terus memberi sumbangan kebajikan kepada mereka,” ujarnya.