• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MB Agih Duit I-Fitri Kepada 5,143 Rakyat Kurang Berkemampuan

MARANG, 30 April - 5,143 orang daripada rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang telah menerima bantuan i-Fitri bagi tahun 2022 bagi menyambut aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi meraikan hari kemenangan umat Islam itu Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk memberikan Bantuan i-Fitri kepada rakyat Terengganu yang layak iaitu seramai hampir 150 ribu orang.

Katanya, ia melibatkan 90 peratus daripada keseluruhan rakyat negeri Terengganu dengan peruntukan RM58 juta.

"Saya berharap dengan agihan bantuan yang diberikan ini, walaupun tidak banyak tetapi dapat menceriakan rakyat Terengganu untuk menyambut hari raya bersama ahli keluarga.

"Sepanjang dua tahun lepas, kita berdepan dengan pandemik, kita sembahyang tarawih, beraya dan solat raya di rumah sendiri yang diimamkan oleh Ketua keluarga, ayah atau anak masing-masing.

Ucapnya ketika hadir merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan i-Fitri kepada hampir 800 orang penerima yang diadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya pagi kelmarin.

Turut hadir adalah Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Zuwislam Awang, Ketua Polis Daerah Marang, Superitendan Mohd Zain Mat Dris dan Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hassan Awang.

Menurutnya lagi, sebaik sahaja berada di fasa endemik, waktu yang ditungu-tunggu adalah melihat ahli keluarga yang pulang, setelah sekian lama mereka tidak dapat beraya dan berjauhan. 

"Kita doakan agar hari raya pada tahun ini lebih meriah, namun bergitu kita masih lagi perlu menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) berhari raya, cuba elakkan diri dan berjaga-jaga, serta jika tidak sihat, terus ambil langkah sebaiknya.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada petugas Pusat Khidmat Masyarakat, Pejabat Daerah Marang, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rhu Rendang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang telah membanting tulang dan bersengkang mata bagi menguruskan permohonan sebelum ini.

"Kerja kuat kalian di sepanjang menuruskan bantuan rakyat telah menggambarkan komitmen kita untuk membantu rakyat," tambahnya lagi.

 


Tag: