• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

MB Isytihar Jersi No.12 Khas Buat Penyokong Terengganu FC

Para pemain TFC mempamerkan jersi Home dan Away kepada penyokong yang hadir.
KUALA NERUS, 27 Januari - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) merangkap Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan jersi nombor 12 akan dikhaskan buat para penyokong Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC).

Ini sebagai menghargai sokongan berterusan peminat bola sepak negeri itu kepada pasukan.

Keputusan tersebut diumumkan beliau ketika berucap dalam Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain TFC 2019 di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak semalam.

Jersi baharu pasukan TFC dihasilkan secara eksklusif oleh kedai sukan terbesar di negara ini iaitu Al-Ikhsan Sdn. Bhd.

Rekaan tersebut menampilkan dua warna iaitu putih bagi jersi utama dan hitam sebagai jersi kedua.

Kelainan turut dipamerkan jenama itu melalui getah jalur emas dan hitam di bahagian lengan serta kolar eksklusif bagi jersi utama.

Jersi tersebut dijual bermula malam tadi pada harga RM99.90.
Dr. Samsuri harap pengurusan PBSNT berjaya realisasi kejayaan bagi musim 2019.
Dr. Samsuri dalam ucapannya menyifatkan tahun 2018 merupakan kebangkitan bagi bola sepak negeri Terengganu apabila kesemua pasukan negeri cemerlang dalam kejohanan yang disertai.

"Semua penyokong dan rakyat negeri Terengganu cukup berbangga dengan pencapaian pasukan sepanjang 2018 lalu walaupun tidak semua kejayaan berjaya dicapai.

"Apa yang penting adalah kesungguhan, usaha dan kerja keras yang telah ditunjukkan oleh semua pihak.

"Inilah yang sebenarnya memberi erti kepada pencapaian kita, kemenangan bagi diri kita untuk melakukan yang terbaik tahun ini," katanya.

Beliau turut menyatakan, musim ini sangat mencabar dan berharap pengurusan TFC akan mencuba yang terbaik untuk merealisasikan kemenangan.

"Apabila kita bermula di atas berdasarkan pencapaian musim lalu, maka tentulah kita berdepan tugas sukar mempertahankan kedudukan," katanya sekali gus meletakkan sasaran TFC untuk berada di kelompok tiga terbaik dalam saingan Liga Super.

Beliau turut mensasarkan pasukan untuk ke perlawanan akhir bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam majlis tersebut, para pemain TFC 1 sehingga TFC 4 diperkenalkan selain penyampaian salam penghargaan kepada bekas-bekas pemain Terengganu yang hadir.

Turut hadir, Timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta ahli-ahli majlis dan pegawai kanan negeri.


Peminat mula mendapatkan jersi pasukan sejurus tamat majlis pelancaran.





Tag: