• 02 Dis 2022 | 8 Jamadil Awal 1444

MB Nasihat Berhati-hati Pulang Beraya



Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menasihati supaya anak-anak Terengganu di perantauan berhati-hati ketika pemanduan sepanjang perjalanan untuk pulang beraya di kampung halaman sempena menyambut Aidilfitri tahun ini.

Beliau juga mengingatkan pengguna Lebuh Raya Pantai Timur khususnya, mengawasi pemanduan masing-masing terutamanya pada waktu malam agar tidak berlaku kecelakaan di jalan raya.

“Saya menyeru seluruh anak-anak perantau dari pelbagai tempat, jauh atau dekat supaya pulang dan memandu dalam keadaan tenang, tidak tergopoh gapah dan sekiranya penat berhenti rehat.

“Bersabar ketika memandu dan bersabar juga dengan karenah pengguna jalan raya yang lain. InsyaAllah kita dapat pulang dan berhari raya dengan lebih ceria bersama anggota keluarga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Bantuan Raya Kepada Anak Yatim dan Miskin di Pasaraya Ku, Marang, hari ini.

Majlis anjuran Dewan Pemuda Pas Rhu Rendang dan PPD Rhu Rendang yang mendapat kerjasama Pasaraya Ku Trading Sdn Bhd itu telah meraikan 50 kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dalam DUN Rhu Rendang apabila diberi peluang membeli-belah persiapan Aidilfitri di Pasaraya Ku, Marang.

Tag: