• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

MB Pernah Jadi Penghulu

Dr Ahmad Samsuri (tiga, kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang penghulu- Gambar Tengku Syamim Tengku Ismail


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pernah menjadi Penghulu Komuniti Melayu di Leeds, United Kingdom pada tahun 1998.

Beliau berkata,  pada masa itu ada kira-kira 100 keluarga Melayu di Leeds, manakala yang belum berkeluarga ada 300 orang.

"Ini termasuk 50 orang Cina dan India, rakyat Malaysia yang tinggal di sana, " katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penghulu di Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

Turut hadir di majlis tersebut,  Setiausaha Kerajaan Negeri,  Dato' A Rahman Yahya dan 76 orang penghulu dari seluruh negeri.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Rhu Rendang berkata,  komuniti Melayu yang berkeluarga, ada yang bermustautin (tinggal tetap)  dan menjadi rakyat United Kingdom.

Ada di kalangan mereka yang bekerja sebagai profesional seperti Doktor Pakar,  Jurutera dan sebagainya.

"Ada yang pergi atas urusan sebagai sambung belajar,  ada yang membuat master,  ada yang membuat Phd dan sebagainya.

"Dan entah bagaimana,  saya dipilih sebagai penghulu komuniti Melayu Leeds selama lebih kurang dua tahun,  itu cerita lama,  nama jawatan pun penghululah, " katanya sambil ketawa kecil.

Namun jelas beliau tugas tersebut tidak seberat yang ditanggung oleh penghulu di negeri itu.

"Walaupun saya melaksana tugas penghulu di Leeds tetapi tidak sama dengan tugas yang dipikul oleh penghulu di hadapan saya, " ujarnya.

Justeru beliau mengucapkan syabas kepada semua penghulu Terengganu di atas tanggungjawab dipikul dan semoga mendapat keberkatan dari Allah. 

Tag: