• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

MB Rakam Takziah Buat keluarga Mangsa Kebakaran Tahfiz

Menteri Besar ketika berucap sempena pelancaran Festival Kenyir 2017, di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman melahirkan dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran yang mengorbankan nyawa lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar tahfiz di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Beliau yang turut terkejut dengan kejadian itu berharap perkara itu menjadi ikhtibar kepada semua pihak khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba Dan Penyelamat serta pejabat daerah dalam meningkatkan aspek keselamatan bangunan sebelum diduduki.

"Saya bagi pihak seluruh kerajaan negeri dan rakyat Terengganu melahirkan rasa sedih dan meminta pihak yang bertanggungjawab sentiasa memastikan bangunan pelajar tahfiz, pelajar swasta dan juga kelas tuisyen sentiasa dalam keadaan selamat.

"Saya harap pemeriksaan dan pemantauan dipertingkatkan dan dijalankan dengan teliti  terutama di Terengganu supaya bangunan mengikut peraturan ditetapkan agar tragedi ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,"katanya.

Beliau mengulas kejadian kebakaran yang mengorbankan 25 pelajar dan tenaga pengajar dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, jam 5.30 pagi tadi.

Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Festival Kenyir 2017, di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail.

Beliau berkata, peristiwa menyayat hati seperti itu boleh dielakkan jika semua pihak sentiasa peka dan mengutamakan tahap keselamatan penghuninya.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur kebakaran dipercayai berlaku bermula jam 5.10 pagi dari tingkat atas bangunan tiga tingkat itu.


Tag: