• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

MB Terengganu Harap Jenayah Cederakan Atlet Tidak Berulang

KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan rasa simpati atas perbuatan berunsur jenayah yang menimpa beberapa pemain bola sepak tanah air.

"Sesiapa jua, ia (kejadian tersebut) tidak patut berlaku dalam negara ini. Kita bersimpati kepada pemain yang menjadi mangsa.

"Pagi ini, saya dapat tahu ada lagi pemain yang menjadi mangsa kejadian seperti ini.

"Saya tidak tahu apakah ia trend atau perkara baru yang berlaku, ia membimbangkan.

"Saya harap ia bukan trend baru, semua pihak harus menghormati satu sama lain termasuk ahli sukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim turut memaklumkan keadaan terbaru membabitkan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid yang cedera disamun baru-baru ini.

"Dalam lawatan yang terakhir, fizikalnya tiada masalah dan ada beberapa luka perlu masa untuk sembuh. 

"Cuma trauma memang ada. Jadi, kita bagi masa beliau bersama keluarganya untuk sama-sama membantu memulihkan trauma yang dialami.

"Di samping itu, pihak kita telah memikirkan beberapa sokongan lain terutama dalam sudut pemulihan trauma.

"Saya jangka dalam beberapa perlawanan awal mungkin Akhyar tidak akan sertai, tetapi dia akan mula berlatih selepas sesi pemulihan," katanya.

Beliau merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), juga menyatakan pihaknya telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi perkara terbabit.

"Kelmarin, kita telah selesai taklimat keselamatan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Perkara ini dipandang serius pihak polis dan kita ucapkan terima kasih kepada PDRM kerana sangat memperhalusi perkara ini.

"Kita juga akan membuat solat hajat untuk keselamatan dan kesejahteraan Akhyar dan pemain-pemain lain termasuk Faisal Halim.

"Walaupun bukan dari pasukan kita, saya menyeru supaya rakyat Terengganu solat hajat dan mendoakan ke arah lebih baik buat Faisal," katanya.


Tag: