• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

MB Terengganu Serah Piala YAB ADUN Rhu Rendang Kepada Rusila FC

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) meredah hujan menyampaikan piala pusingan kepada Rusila FC.
Oleh: Aslam Wira

MARANG, 21 November - Pasukan Rusila FC muncul juara selepas mencatatkan kemenangan tiga gol tanpa balas ke atas Bandar Marang FC dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala YAB ADUN Rhu Rendang di Padang Majlis Daerah Marang malam tadi.

Setelah mengambil masa selama lebih 2 bulan bermula pada 31 Ogos lalu, perlawanan penentuan kejohanan yang berlangsung semalam melabuhkan tirainya.

Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang bagi merasmikan kejohanan dan menonton perlawanan sengit di antara dua pasukan tersebut.

Terdahulu, kejohanan ini telah melibatkan 21 pasukan dari seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, yang juga dirasmikan oleh beliau.


Bagi meraikan kemenangan pasukan yang menyandang juara, Dr Samsuri sendiri telah menyampaikan piala pusingan dan mengucapkan tahniah kepada pemenang.

Rusila FC turut membawa pulang medal serta hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 sebagai juara kejohanan itu.

Manakala, Mohd Hafizan Talib yang memegang jersi bernombor lapan dari Rusila FC telah dipilih sebagai pemain terbaik dalam perlawanan akhir tersebut.

Hadir sama dalam majlis penyampaian hadiah itu adalah Pegawai Daerah Marang, Azmi Arshad, Pegawai Khas ADUN, Wahad Osman, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Yusof, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Haji Mohd Embong dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Yusof Abdul Hadi.


Dalam tumpuan lain, Dr Samsuri turut menandatangani banner atau sepanduk Bantahan ICERD sebagai tanda membantah sekerasnya terhadap isu terbabit.

Banner yang ditandatangani oleh orang ramai akan dibawa ke Himpunan Aman oleh Pemuda PAS DUN Rhu Rendang menjelang Disember nanti.

Tag: