• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MB Terengganu Umum Dana Khas Pembangunan Atlet

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditemui pemberita dalam Majlis Meraikan Atlet SUKMA Daerah Marang, semalam.
KUALA TERENGGANU, 24 November - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan bahawa dana khas sukan bakal diperuntukkan buat atlet muda Terengganu.

Beliau yang hadir bersama isteri, Tuan Faizah Ab Rahman meraikan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 berkata, dana khas tersebut bertujuan untuk memudahkan atlet berlatih dan mencari pendedahan dalam meningkatkan prestasi diri.

"Kita percaya bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan dalam apa jua peringkat, antara aspek penting yang membantu adalah pendedahan dalam pertandingan.

"Oleh itu, kerajaan negeri menyediakan insentif untuk atlet muda kita berlatih atau mendapat pendedahan termasuklah di luar negara.

"Kita fokus kepada atlet muda untuk mendapatkan pendedahan awal dan membiasakan diri dengan suasana pertandingan.


"Tentulah ia sebagai persediaan SUKMA akan datang. Namun, pendedahan ini juga dapat membantu atlet di peringkat negara dan antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Meraikan Atlet SUKMA Daerah Marang di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau bagaimanapun merahsiakan nilai dana yang bakal diperuntukkan.

"Jumlah dana khas itu akan saya umumkan dalam Belanjawan Terengganu 2019 nanti," katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 30 atlet bersama ibu bapa mereka diraikan oleh Dr. Samsuri selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dan ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi beserta isteri, Wan Hamidah Wan Daud.


Tag: