• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

MBKT Cantas Pokok Rhu Ancam Keselamatan

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil inisiatif memotong dahan-dahan pokok rhu di bahu Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai yang tinggi dan membahayakan orang awam.

Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Landskap MBKT, Hasrol Ferdaus Mahmod yang menyelia kerja tersebut memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan selama tiga hari berakhir hari ini dan melibatkan seramai 40 orang petugas dari pelbagai jabatan di MBKT.

“Kami menerima aduan daripada orang ramai berkenaan pokok rhu ini dan beberapa hari lalu, kami telah mulakan kerja-kerja mencantas dahan pokok bagi memastikan ia tidak membahayakan pengguna jalan raya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini.

Operasi tersebut dilaksanakan secara berperingkat berikutan terjadi banyak kejadian dahan patah dan pokok tumbang yang membabitkan pengguna laluan itu.

Baru-baru ini, sebuah kereta telah terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai akibat dihempap sebatang pokok rhu yang tumbang ketika ribut melanda kawasan tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut memuat naik satu hantaran dalam laman Facebooknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBKT atas tindakan tersebut.