• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Mengapa Ahli Parlimen dan Negeri Pembangkang Diberi Layanan Berbeza?

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, dalam Dewan Rakyat semalam melontarkan kritikan keras terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dan juga pembayaran royalti petroleum yang tertangguh kepada negeri Terengganu. 

Beliau menegaskan bahawa dasar yang diamalkan ketika ini bukan sahaja membebankan wakil rakyat, malah tidak adil kepada negeri yang berhak menerima manfaat secara langsung.

“Kenapa kerajaan masih berdolak-dalik dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang?.

“Mekanisme sedia ada yang mengagihkan dana melalui projek-projek tertentu bukan sahaja kurang telus, malah menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat,” ujarnya ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam

Selain itu, isu royalti petroleum untuk negeri Terengganu juga turut dibangkitkan oleh Shaharizukirnain. 

“Terengganu hanya menerima RM425.17 juta daripada jumlah keseluruhan royalti RM792.3 juta, manakala bakinya sebanyak RM367.15 juta masih belum disalurkan. 

“Lebih mengejutkan, anggaran hasil royalti petroleum bagi tahun 2024 adalah RM1.52 billion, namun beliau mempersoalkan sama ada kerajaan pusat akan melunaskan pembayaran secara penuh kepada kerajaan negeri.

“Mengapa royalti Terengganu tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri seperti negeri lain?," tegas Shaharizukirnain yang menganggap penggunaan projek sebagai kaedah penyaluran adalah alasan semata-mata. 

Beliau turut menyoal apakah tindakan ini akan diteruskan sebagai bentuk diskriminasi politik, memandangkan negeri-negeri lain menerima royalti mereka tanpa melalui projek pembangunan yang melengahkan bayaran.

Shaharizukirnain menuntut agar kerajaan pusat segera menilai kembali dasar ini supaya hak rakyat Terengganu dan kawasan-kawasan pembangkang terjamin. 

“Rakyat berhak tahu ke mana perginya dana yang dijanjikan untuk pembangunan mereka,” katanya menggesa ketelusan serta keadilan dalam pengurusan peruntukan dan royalti di seluruh negara.