• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Menteri Besar Sertai De' Perasing Ride@LPT2

Dr Samsuri dan peserta VIP fun ride bergambar sebelum perlumbaan.
KEMAMAN, 22 Oktober - Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempamerkan sokongan De' Perasing Ride 2018 apabila menyertai perlumbaan kategori Fun Ride 5KM yang diadakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, kelmarin.

Beliau turut mengejutkan urusetia perlumbaan apabila berjaya menamatkan kayuhan hanya dalam masa 15 minit mendahului peserta lain.

Selain Dr Samsuri, fun ride turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' A. Rahman  Yahya, Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengarah Eksekutif LPT2 , Datuk Azman Ismail selain pegawai-pegawai kerajaan negeri dan LPT2.

Perlumbaan yang dianjurkan oleh Syarikat Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. dan kerajaan negeri itu turut disokong oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Perlumbaan menggunakan laluan di antara persimpangan Jabor hingga Kijal.
Penganjuran kali kedua De' Perasing Ride kali ini berjaya menghimpunkan seramai 1,300 peserta dari seluruh negara termasuk dari negara Thailand.

Wan Sukairi merakamkan ucapan tahniah kepada syarikat LPT2 atas penganjuran dan berharap ia akan terus menjadi acara tahunan.

"Perlumbaan ini bukan sahaja mempromosikan LPT2 sebagai laluan utama pantai timur dan R&R Perasing.

"Ia juga secara tidak langsung mempromosi Terengganu sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan aktiviti berbasikal dan melahirkan banyak bakat negara dalam sukan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sana.

De' Perasing menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM52,000 dengan mengetengahkan tiga kategori perlumbaan, Fun Ride, Road Bike 90KM dan Mountain Bike 50KM yang disempurnakan pelepasannya oleh Dr Samsuri seawal jam 7:30 pagi.

Kategori Road Bike 90KM diungguli oleh Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff daripada pasukan Sapura dengan catatan masa 1:53:16:00.

Wan Sukairi menyampaikan hadiah kepada Mohamad Nur Aiman.
Manakala, Mountain Bike 50KM pula dimenangi oleh Muhammad Elmi Jumari daripada Amaniz Cycling Team yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa 1:25:05:29.

Pasukan berbasikal kebanggaan negeri, Terengganu Cycling Team (TSG) pula dianugerahkan sebagai pasukan terbaik kejohanan dan meraih hadiah wang tunai bernilai RM5,000.




Tag: