KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Lawatan Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong ke Terengganu hari ini dilihat memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga baharu, ekonomi hijau, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua pihak.
Dalam satu kenyataan, Kerajaan Negeri Terengganu berkata, kunjungan hormat itu turut disertai delegasi rasmi Singapura.
Menurut kenyataan itu, pertemuan di Wisma Darul Iman berkenaan disambut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Secara umumnya, lawatan ini memberi tumpuan kepada perkongsian aspirasi pembangunan mampan di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030,” kata Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri berkata, antara agenda yang dibincangkan termasuk potensi Terengganu sebagai hab tenaga hijau menerusi projek ikonik Hybrid Hydro Floating Solar di Tasik Kenyir.

Kenyataan itu melaporkan, selain sektor tenaga baharu, kerajaan negeri turut memperkenalkan ekosistem perindustrian Terengganu termasuk rantaian nilai silika melalui Terengganu Silica Valley.
Tambah kenyataan itu lagi, kekuatan infrastruktur logistik negeri seperti Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL dan Pelabuhan Kemaman turut diketengahkan dalam pertemuan tersebut.
“Terengganu dilihat sebagai gerbang strategik di Pantai Timur yang mampu menawarkan peluang pelaburan mampan dalam ekonomi hijau dan teknologi tinggi, selari dengan keperluan pasaran ASEAN dan global,” kata kenyataan itu.
Kunjungan delegasi kanan Singapura itu turut memberi ruang kepada Terengganu menampilkan hala tuju pembangunan negeri yang lebih tersusun, khususnya dalam sektor ekonomi baharu yang kini menjadi tumpuan rantau ini.

Lawatan itu turut diisi dengan kunjungan ke beberapa lokasi ikonik negeri seperti Pasar Besar Kedai Payang dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Delegasi berkenaan turut meninjau inisiatif perlindungan pantai yang sedang dilaksanakan, selain melihat sendiri ikon pelancongan moden Terengganu.
Menurut kerajaan negeri, hasil pertemuan itu membuahkan komitmen untuk terus memupuk hubungan erat antara kedua-dua pihak.
Delegasi rasmi Singapura yang hadir termasuk Ho Ching; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong; Menteri Negara di Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Zhulkarnain Abdul Rahim; Ahli Parlimen Joan Pereira; dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.
Tag :