Mercato Lancar CSR, Bantu Mangsa Banjir Yang Terkesan

KUALA TERENGGANU, 5 Disember -  Pasar raya premium pertama di Pantai Timur yang kini beroperasi di Mayang Mall telah melancarkan program Banjir, Beli & Bantu dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu mangsa banjir di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail, Tiger Cheah berkata Mercato sebuah destinasi yang bukan sahaja menawarkan kualiti terbaik tetapi juga menjadi simbol harapan dan kebersamaan.

Menurutnya, berbekalkan  semangat itu, pihaknya akan bekerjasama dengan organisasi tempatan untuk membantu mereka yang memerlukan kerana kami percaya setiap komuniti perlu bangkit bersama.

"Kami sedar bahawa kebelakangan ini, banyak keluarga di kawasan ini terkesan akibat banjir. Hati kami bersama anda, dan kami ingin menegaskan bahawa Mercato hadir di sini bukan sekadar untuk menjalankan perniagaan, tetapi juga untuk menyokong komuniti yang kami anggap sebagai sekeluarga. 

“Oleh itu, pelanggan yang datang membeli belah di Mercato digalakkan menyokong usaha ini dengan membeli barangan keperluan pada harga diskaun atau menyumbang secara tunai,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan pelancaran outlet mereka di Mayang Mall di sini hari ini. 

Jelas beliau lagi, semua sumbangan akan disalurkan kepada keluarga yang terjejas dalam tempoh yang mencabar ini melalui Yayasan Kebajikan Negara. 

Mercato Mayang Mall yang mempunyai keluasan lebih 30,000 kaki persegi menjadi destinasi membeli-belah bertaraf antarabangsa di tengah-tengah Terengganu turut menawarkan pelbagai pilihan produk segar, barangan tempatan, serta produk premium antarabangsa untuk memenuhi keperluan keluarga. 
 
Tambah Tiger Cheah, terdapat pelbagai pilihan yang menawarkan gabungan unik perkhidmatan dan produk premium yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan penduduk Kuala Terengganu dan pantai timur khususnya.

“Kita menawarkan produk segar dan import,  pilihan sedia dimakan, perkhidmatan tambahan seperti penghantaran percuma untuk pembelian melebihi RM300 dalam radius lima kilometer,” katanya.

Sementara itu, Pengarah YKN, Zahimi Mohamad berkata Mercato menjadi pasaraya pertama yang menyumbang bantuan banjir kepada mangsa yang memerlukan melalui kolaborasi bersama YKN Zon Timur.

“Tepat pada waktunya usaha yang dilakukan oleh Mercato tanpa desakan mana-mana pihakm untuk membantu mereka yang memerlukannya.

“Jadi kepada semua warga Terengganu, sama-sama lah kita membantu setiap sen yang dibelanjakan di Mercato, yang anda dermakan ini akan memberi barakah pada masa akan datang,”katanya.
 


Tag: