• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

‘Mesin ATM Besar Maknanya Pada Kami’ - Abdul Rahim



Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 25 September - Rata-rata penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi mengucapkan syukur dan terharu dengan kemudahan ‘Automated Teller Machine’ (ATM) yang berjaya direalisasikan sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jabi, Abdul Rahim Ghazali, 52, berkata, sejak kewujudan mesin ATM itu, penggunaannya boleh dikatakan umpama ‘pisang goreng panas’.

Katanya, beban masyarakat Jabi yang terpaksa berulang alik sejauh 16 kilometer dan berbelanja sebanyak RM15 ke bandar Jerteh semata-mata untuk mengeluarkan wang kini sudah tiada.

“Sejak ada mesin ATM ini, budak-budak kampung kata ‘laku keras’ kerana ia sangat memberi kemudahan tanpa perlu pergi jauh ke Pusat Bandar Jerteh, ia sangat besar maknanya pada kami.

“Alhamdulillah, rakyat Jabi amat bersyukur sebab keperluan ini sepatutnya dah lama ada. Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim atas usaha keras beliau merealisasikan impian kami untuk mempunyai mesin ATM di Jabi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian ATM Agrobank yang disempurnakan Dr Azman di Stesen Minyak Caltex, di sini semalam.


Dalam pada itu, menurut Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, sudah menjadi lumrah kehidupan, manusia saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain.

“Dalam membentuk kerjasama ini bukan semua perkara kena kira untung rugi sebab kita manusia ini bukannya mesin kira di kaunter pasar raya.

“Walaupun ada yang mengatakan agak keterlaluan mengadakan majlis perasmian sebuah mesin ATM, biarlah kecil bagi orang lain, tapi bagi penduduk di sini ia berbeza.

“Hari ini bukan setakat majlis perasmian, pihak Agro Bank juga bermurah hati mengagihkan zakat kepada asnaf terpilih dan pihak Caltex menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pelanggan setia mereka,” tambah beliau.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak Agro Bank dan Pengurusan Stesen Caltex Jabi yang memberikan keizinan untuk menempatkan ATM di premis mereka tanpa sebarang sewa. 

“Dalam tempoh hampir tiga bulan dipasang, penggunaannya sangat menggalakkan. Ada potensi untuk dinaik taraf kepada kiosk pula dimasa depan,’’ katanya.



Tag: