• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

'Messi' Terengganu Berkelana Lagi

KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Pemain sayap yang digelar 'Messi Ganu', Mohd Faiz Nasir bakal dipinjamkan ke pasukan lain dalam usaha memastikan kantung pasukan Terengganu FC tidak berdepan masalah musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, seorang lagi pemain yang bakal mengikuti pemain berkenaan adalah tonggak pertahanan, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar.

Jelas Mohd Sabri, kedua-dua pemain pertahanan dan sayap itu bakal dipinjamkan kepada pasukan Kuching City FC (KCFC) selama satu musim sehingga selesai liga pada April tahun depan.

"Setakat ini, Arif Fadzilah hampir pasti bakal menyarung jersi skuad Pulau Borneo itu. Manakala, Faiz masih lagi di peringkat rundingan.

"Selain Kuching City yang berminat untuk mendapatkan khidmat Faiz, pasukan negeri kelahirannya iaitu Kelantan United FC (KUFC) juga turut berminat untuk mendapatkan bekas pemain sayap skuad kebangsaan itu.

"Namun sehingga kini kedua-dua pemain itu masih lagi pemain Terengganu FC dan pada masa sama ada lagi pemain yang bakal dipinjamkan bagi memastikan kantung pasukan tidak terjejas dalam mengharungi kancah Liga M," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum dengan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) di Gong Badak, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir Ahmad Azhan Suhaili @Ismail.

Sementara itu Ahmad Azhan berkata, syarikat KUTT terpanggil untuk menaja TFC selepas melihat pencapaian yang membanggakan pada musim lalu terutama selepas muncul naib juara Piala Malaysia.

"Secara rasmi kita menjadi penaja 'silver' Terengganu FC selama semusim sehingga Liga M berakhir," katanya ketika ditemui pada majlis itu.
 


Tag: