• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Misi Pertama Terengganu FC Cemerlang

KUALA NERUS, 11 Mei- Terengganu FC memulakan misi Liga Super 2024/2025 dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini.

Dalam perlawanan tersebut, Pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tuskhtasinov membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Haziq Nadzli, untuk tuan rumah selesa di hadapan.

Pasukan pelawat cuba untuk menyamakan kedudukan, tetapi tandukan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-36 hanya singgah di palang.

Sang Penyu hampir menambah jaringan pada minit terakhir separuh masa pertama, apabila Marin Pilj yang menerima hantaran lintang Nur Hakim Hassan berjaya menarik penjaga gol lawan keluar, namun umpanannya tidak berjaya disudahkan Manuel Ott.

Memasuki babak kedua, Perak FC cuba bangkit dengan mengukuhkan penguasaan bola.

Pada minit ke-50, Tommy Mawat melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti, namu berjaya dinafikan Syed Muhammad Nasrulhaq.

Bagaimanapun, sepuluh minit kemudian Sang Seladang berjaya memadamkan perbezaan jaringan hasil sepakan penalti Luciano Guaycochea, selepas Manuel Ott melakukan bentesan ke atas Lee Tae-Min.

Terengganu FC tidak menunggu lama untuk kembali menguasai perlawanan apabila pertahanan lawan, Shivan Pillay tertampan bola ke gawang sendiri setelah Haziq menepis bola lintang Nik Sharif Haseefy pada minit ke-65.

Duka bertambah buat pelawat pada minit ke-74 apabila pertahanan, Luiz Henrique dilayangkan kad kuning kedua.

Pada minit ke-80, Terengganu FC 'menguburkan' harapan Perak FC untuk bangkit apabila pemain gantian, Chukwu Chijioke yang baru dimasukkan menewaskan Haziq untuk gol ketiga tuan rumah setelah menerima umpanan Engku Muhammad Nur Shakir.

Keputusan kekal 3-1 sehingga tamat perlawanan menyaksikan Terengganu FC meraih tiga mata pertama dalam aksi sulung Liga Super 2024/2025.

 


Tag: