• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Misi Tawan Gunung Latimojong Bermula



Semangat dan iltizam membara mengiringi misi 20 pendaki untuk menawan puncak Rante Mario, Gunung Latimojong, Sulawesi Selatan, Indonesia pada 30 September hingga 6 Oktober ini.

Pengembaraan yang turut disertai media Terengganu bermula secara simbolik hari ini, apabila diraikan pada acara pelepasan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Mohd Rozailan Mamat di Perkarangan Wisma Darul Iman.


Rozailan berharap misi kumpulan itu untuk menawan puncak tertinggi di Sulawesi Selatan itu tercapai dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Kumpulan pendaki ini bukan sahaja mahu mencabar diri dalam aktiviti lasak yang menguji mental dan fizikal, malah inisiatif ini juga dapat mengeratkan hubungan antara Kerajaan Terengganu bersama Provensi Sulawesi 

"Program pendakian gabungan dua kerajaan ini juga dapat meningkatkan sektor pelancongan Terengganu dengan negara tersebut khususnya Wilayah Sulawesi Selatan,"katanya.


Seorang peserta, Nur Fazlizai Ali berkata, dia dan 19 pendaki yang lain sangat teruja untuk menyahut cabaran dalam merealisasikan hasrat pengembaraan mereka.

"InsyaAllah kami akan lakukan yang terbaik dan membawa nama Terengganu ke Sulawesi Selatan.

"Jalur Gemilang dan bendera Terengganu akan berkibar megah di puncak Gunung Latimojong pada 3 Oktober ini," katanya.

Kembara anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan) turut disertai wakil dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Pendaki Everest Terengganu dan Kelab Eksplorasi Terengganu dijangka mula mendaki puncak tertinggi di Sulawesi Selatan yang berketinggian 3,487 meter itu pada 3 Oktober ini.

Ekspedisi selama enam hari itu akan diketuai Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysi Negeri Terengganu, Leftenan Kol (PA) Che Adam A Rahman.




Tag: