• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Amin, Hidayah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu

SETIU, 7 Februari - Qari dari Kampung Bukit Mundok, Mohd Amin Ismail dan qariah dari Kampung Ladang Bari, Nor Hidayah Abd Rahman dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1444H/2023M di Masjid Kampung Rahmat, Chalok malam tadi.

Dengan keputusan itu, mereka layak membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, selain piala iringan, plak dan sijil penyertaan.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Setiu bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang akan berlangsung di Dewan Majlis Marang pada 28 Februari hingga 2 Mac depan.

Tempat kedua pula dimenangi qari dari Tahfiz Assobur Bukit Kemudu, Rozali Muhammad dan qariah dari Kampung Chalok Kedai Dr. Shayuti Mohamed Adnan.

Mereka membawa pulang hadiah RM 2,000, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi qari dari Kampung Pak Kancil, Md Ayoub Hamzah dan qariah dari Kampung Chalok Kedai, Halimah Ibrahim.

Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Setiu, Encik Ahmad Rizal Mamat diiringi Penyelaras DUN Langkap, Encik Azmi Maarof bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Tuan Zalizan Sulong dan Pegawai Agama Daerah Setiu, Tuan Mohd Faiz Azuan Marzuki.

Terdahulu Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Daerah Setiu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoniti dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dr. Azman Ibrahim selepas solat Maghrib.

 


Tag: