• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kerajaan Digesa Jelaskan Peruntukan Tambahan Fasiliti Kesihatan Terengganu

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Kerajaan Persekutuan diminta untuk menjelaskan peruntukan tambahan sebanyak RM523,186,050 kepada Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan termasuk di negeri Terengganu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ia mengalami peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding dengan peruntukan sebelumnya.

"Pertambahan bajet hampir setengah bilion itu ialah pada tahun lepas, di mana cukai SST dan kejatuhan nilai ringgit tidak seteruk hari ini.

“Justeru, dengan situasi semasa mengambil kira dua faktor yang saya sebutkan iaitu cukai SST dan kejatuhan nilai ringgit,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Tambah Dr Alias, beliau menimbulkan persoalan adakah peningkatan harga ubat akibat daripada pertukaran wang asing dan juga daripada beberapa cukai yang diperkenalkan.

“Saya bimbang dengan kenaikan SST dan juga nilai ringgit ini akan memerlukan pertambahan bajet yang lebih besar pula pada tahun 2024. 

“Ini harus kita lihat keadaan ini supaya tidak menekan kepada bajet ataupun kewangan kerajaan itu sendiri,” ujarnya.