lightning-solid
Berita :
 MOTAC Digesa Naik Tarag Prasarana Pelancongan di Besut
MOTAC Digesa Naik Tarag Prasarana Pelancongan di Besut
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
13 Nov 25
54

KUALA LUMPUR, 13 November – Ahli Parlimen Besut,  Che Mohamad Zulkifly menggeasa agar  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi perhatian khusus terhadap pembangunan prasarana pelancongan di daerah Besut yang menjadi pintu masuk utama ke negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi MOTAC di Dewan Rakyat petang tadi.

Menurutnya, peruntukan di bawah butiran Pembangunan Prasarana bagi tahun 2026 berjumlah RM3.01 juta adalah terlalu kecil dan tidak mencukupi untuk melaksanakan pembangunan sebenar, memandangkan sebahagian besar daripadanya diperuntukkan untuk emolumen serta perkhidmatan asas.

“Saya tidak pasti bagaimana kementerian dapat melaksanakan pembangunan yang bermakna dengan peruntukan sebegitu kecil. Besut merupakan pintu masuk utama pelancongan ke Terengganu, selain lokasi strategik bagi pelancong domestik dan antarabangsa ke Pulau Perhentian, Bukit Keluang, Lata Tembakah dan destinasi semula jadi lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, turut mencadangkan agar MOTAC menumpukan usaha menaik taraf Jeti Pelancongan Kuala Besut, termasuk pembinaan semula dengan reka bentuk moden dan mesra alam, penyediaan ruang menunggu pelancong, kaunter tiket bersepadu, kemudahan OKU serta pemasangan sistem pencahayaan dan pengurusan sisa yang lebih efisien.

Beliau juga turut menekankan keperluan pembaikan kemudahan awam di destinasi pelancongan utama seperti Bukit Keluang, Lata Tembakah dan lain-lain, termasuk tandas, surau, tempat letak kereta, laluan pejalan kaki, papan tanda dan kamera keselamatan (CCTV).

Dalam masa  yang sama, beliau turut mempersoalkan pengagihan peruntukan Lembaga Penggalakan Pelancongan yang didakwa tidak seimbang antara negeri.

“Sebelum ini negeri lain menerima sejuta ringgit, tetapi Terengganu hanya RM470,000. Saya ingin tahu sama ada formula yang sama akan digunakan pada tahun 2026, atau kerajaan akan melaksanakan pengagihan yang lebih adil berdasarkan potensi sebenar negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai Islamic Tourism Centre (ITC), YB Besut menegaskan bahawa peranan penasihatan ITC perlu diambil serius oleh kementerian sendiri bagi memastikan standard amalan terbaik industri pelancongan Islamik dipatuhi.

“Jika nasihat ITC diambil dengan betul, tentu tidak berlaku keterlanjuran seperti hidangan arak dalam majlis Global Travel Meet baru-baru ini,” ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya diwujudkan SOP wajib bagi semua program kementerian agar mematuhi piawaian pelancongan Islamik yang digariskan ITC, selain memperkukuh usaha membanteras premis pelancongan yang menjual arak tanpa lesen.

Dalam pada itu beliau turut menyataka nkerajaan negeri Terengganu telah menunjukkan contoh baik dengan mengesan dan memberi amaran terhadap resort-resort yang melanggar syarat tersebut di Pulau Perhentian.

“Kita tidak pernah melarang orang bukan Islam meminum arak, tetapi biarlah di tempat khusus dan berlesen, bukan di tempat awam. Orang mabuk di tempat awam ini perangainya buruk dan boleh menimbulkan masalah,” katanya.




Tag :

Artikel Berkaitan