• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

MPKK Dendang Mahu Tanam Jagung Untuk Jana Pendapatan

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 28 Julai- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dendang mahu menjadikan tanaman jagung sebagai projek awal bagi menjana pendapatan serta menyediakan ruang pekerjaan kepada penduduk.

Pengerusi MPKK berkenaan, Abdul Malek Abdul Rani berkata, kerja-kerja membersihkan tanah berkeluasan enam ekar telah dimulakan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

"Kita jangkakan kerja-kerja pembinaan longkang dan pagar dapat diselesaikan dalam masa enam hari. InsyaAllah, selepas ini kita akan terus melaksanakan projek membajak bagi projek tanaman jagung ini.

"Tanah ini mampu memuatkan sebanyak 30,000 sehingga 60,000 anak pokok yang akan mendatangkan hasil selepas 70 hari ditanam," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di kawasan tanah berkenaan, di Kampung Dendang, semalam.

Beliau turut berharap agar projek yang diusahakan penduduk Kampung Dendang  itu mendapat perhatian daripada pihak berwajib.

"Kita nak minta supaya jabatan lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), akan membantu  dan menyumbang sedaya upaya melalui peruntukkan yang mereka ada bagi memastikan projek pertama di DUN Bukit Besi ini mampu berkembang.

"Juga kita nak minta pihak Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (EXCO) mempertimbangkan permohonan tanah yang dipohon oleh MPKK juga bantuan daripada jabatan pertanian," ujarnya.

Untuk permulaan ini katanya, bantuan dan dorongan semangat daripada semua pihak amat diharapkan bagi meneruskan projek berkenaan.


Tag: