• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

MPKK Digesa Tubuh Khairat Kematian


Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) digesa untuk menubuhkan tabung khairat kematian untuk menjaga kebajikan penduduk kampung.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, khairat kematian adalah salah satu agenda ke arah negeri berkebajikan iaitu tidak mengharapkan bantuan sepenuhnya dari kerajaan tetapi bermuafakat untuk mengurus hal kebajikan yang berkait dengan masyarakat.

“Konsep negeri berkebajikan adalah di mana semua pihak terlibat dalam menjaga kebajikan rakyat termasuk syarikat korporat, agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan juga MPKK," tambah beliau.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Khairat Kematian Tanjung Sabtu Kali Pertama yang dianjurkan oleh MPKK Tanjung Sabtu di balairaya kampung berkenaan kelmarin.

“Syabas dan tahniah diucapkan kerana mengambil langkah dan inisiatif yang sangat baik ini.

“Ini bukan suatu kerja yang mudah kerana tidak banyak MPKK yang berjaya mewujudkan khairat kematian ini.

“Ada yang berjaya wujudkan, tetapi tidak aktif pula," ujar beliau lagi.


Beliau berdoa agar jawatankuasa tersebut akan terus bergerak dengan lebih berkesan dalam usaha untuk menjaga kebajikan masyarakat khususnya dalam hal-hal yang melibatkan kematian dan memperluaskan sumbangan kepada bantuan persekolahan untuk keluarga si mati.

“Kerajaan negeri sangat menggalakkan program kebajikan seperti ini sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Bajet 2019 Negeri Terengganu baru-baru ini dengan memasukkan 12 dari 20 manifesto yang dijanjikan.

“Antaranya RM17 juta diperuntukkan untuk kad sejahtera dan wad percuma kelas ketiga hospital kerajaan, RM14.7 juta untuk menampung kos daripada pengecualian cukai pintu rumah kediaman dan RM50 juta untuk bantuan pakaian dan alatan sekolah," tambahnya.

Beliau juga berpesan agar tidak lupa kepada kematian walaupun sibuk menguruskan kematian orang lain dan berharap agar semua MPKK mempunyai tabung khairat kematian suatu masa nanti.

Tag: