• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

MPKK DUN Bukit Besi Telus Agih Bantuan


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 14 April -Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telus dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengerusi MPKK Felda Jerangau Cawangan A, Mohd Sidek Muhammad berkata, semua bantuan samada dari kerajaan mahupun dari Badan Bukan Kerajaan (NGO), Felda Global Ventures (FGV) serta Ahli Parlimen diagihkan tanpa mengira parti dan perkara berkenaan diketahui semua pihak.

"Ketiga-tiga MPKK duduk semeja berbincang dengan wakil Felda, Gerakan Penerokawati (GPW), Pertubuhan Warisan Generasi Kebangsaan (Generasi) juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Tanah Rancangan (JKKR).

"Ianya tidak sebagaimana dakwaan mengatakan ianya diagihkan secara sembunyi dan hanya diberikan kepada pihak tertentu sahaja," ujarnya ketika dihubungi pihak media, hari ini.

Katanya, ketiga-tiga cawangan MPKK melakukan perkara yang sama dimana agihan dilakukan tanpa mengira parti.

"Kerana semuanya kami anggap makan nasi dan memerlukan keperluan asas untuk terus hidup.

"Muafakat Nasional terjalin dengan baik di kalangan masyarakat Felda Jerangau," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Taman Indah, Zakiah Alias turut menafikan sumbangan diagihkan secara sembunyi.

"Jika dikatakan benar, mana buktinya? Kita telah agihkan dengan telus dan adil tanpa melihat pun kepada parti.

"Kami telah jalankan tanggungjawab dengan mengagihkan semua bantuan yang sampai kepada orang yang layak, malah kami ada senarai penerima beserta tandatangan dan boleh kemukakan bukti jika diperlukan," ujarnya.


Tag: