• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 26 Disember - Persiapan anak-anak untuk memasuki sesi  baharu persekolahan perlu dititikberatkan bukan sahaja dari segi pakaian, peralatan, mental malah fizikal juga penting untuk keselesaan menuntut ilmu.

Tindakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Jabi yang mengadakan Program Gunting Rambut Percuma kepada pelajar sekolah sekitar mendapat pujian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim.

Dr Azman mengucapkan tahniah dan berbangga dengan usaha murni meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan itu.

"Syabas diucapkan kepada MPKK PAKR di atas penganjuran program sebegini.

"Ini menunjukkan kecaknaan sebagai pemimpin dan inilah yang kita inginkan. Mampu berdiri di atas kaki sendiri dan ia boleh dijadikan contoh kepada kampung lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Tanah Merah, di sini,  malam ini.

Sementara  itu, Pengerusi MPKK PAKR Jabi, Mohd Rezuan Md Lazim berkata, program sepanjang seminggu itu memberi peluang mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa dalam menguruskan persiapan persekolahan.

"Kita cuba bantu semampu mana kita boleh. Yang penting anak-anak kita nampak kemas dan selesa untuk ke sekolah," jelasnya.

Menurutnya lagi, lebih 100 kupon diedarkan di sekitar taman perumahan kepada pelajar lelaki untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma  bermula 23 sehingga 30 Disember ini.

"InsyaAllah, kita akan meneruskan program seperti ini pada masa akan datang,"kata beliau lagi.

Tag: