• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445


Oleh: Aslam Wira

MARANG- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berperanan sebagai ejen membanteras jenayah yang efektif  kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penyaluran maklumat awal daripada masyarakat mengenai aktiviti yang mencurigakan mampu memberi peluang dan ruang kepada pihak polis membanteras aktiviti jenayah dengan pantas.

Penolong Pesuruhjaya Polis, Tuan Ismail Ab Ghani berkata, masyarakat memainkan peranan dengan membantu PDRM mencegah jenayah melalui hubungan yang erat antara komuniti dengan pihak polis yang  mampu menangani jenayah daripada berlaku.

“Kita tidak boleh membebankan dan melepaskan tanggungjawab kepada pihak polis semata-mata, sekiranya kita mampu ambilah peranan untuk membantu pihak Polis.

“Contohnya kes yang paling tinggi di kawasan Marang adalah jenayah komersial, dan  MPKK tidak perlu ada ungkapan bahawa kita tidak boleh ‘jaga tepi kain orang’ kerana kita perlu saling menasihati dan membanteras segala aktiviti jenayah yang berlaku,” kata beliau.

Ismail berkata demikian dalam satu Majlis Taklimat Polis Diraja Malaysia dan Perpustakaan Awam Daerah Marang  bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Perpustakaan Awam Daerah Marang, di sini, 6 Oktober.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Daud Jusoh.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar,merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),  Wahad Osman.

Terdahulu,Wahab berkata dengan pelaksanaan program penerangan ini masyarakat harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha membanteras jenayah di negara kita.

“Saya berharap dengan pertemuan ini, ia mampu memberi panduan kepada MPKK untuk memantau isu dan gejala yang berlaku di kawasan masing-masing sebagai mata dan telinga kepada pihak polis dalam usaha membanteras jenayah,”ujarnya.



Tag: