• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MPKK Siap Siaga Hadapi Banjir

Wan Sukairi meninjau kawasan yang berpotensi banjir di DUN Wakaf Mempelam.
Oleh: Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU, 7 November - Sesetengah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mula melakukan persediaan awal dalam mengelakkan  banjir kilat dan limpahan air ketika hujan lebat dengan mengambil pelbagai langkah dan usaha.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah memuji tindakan MPKK Kampung Wakaf Mempelam yang menyewa mesin 'case' untuk membersihkan aliran longkang dan saliran.

"Ini merupakan satu langkah yang amat baik kerana penting bagi setiap MPKK mengawal selia tempat- tempat berpotensi tersekat aliran air,” katanya ketika meninjau beberapa tempat berisiko di dalam DUN Wakaf Mempelam, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam mendapat makluman bahawa MPKK Padang Sena, Gong Pauh dan Kubang Tangga bergabung membersihkan persekitaran perumahan Taman Sri Nilam.


Parit yang tidak diselia baik akan menyekat aliran air.
"Pada cuti perayaan Deepavali ini, beberapa MPKK mengambil kesempatan melakukan gotong royong membersih longkang dan parit tersumbat sebagai langkah pencegahan banjir. Salah satunya di Kampung Losong Atap Zing. Pengerusinya, Saudara Mohd Azhan Haji Suhaili turut mengadakan gotong royong membersih perparitan sekitar Kampung  Losong Atap Zing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Wakaf Mempelam, Saudara Azmi Ali berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan kawasan ke Kampung Kayu Tinggi dan sekitarnya, berhampiran jalan utama kampung dikelilingi sawah terbiar.

"Di sini, air sering melimpahi jalan apabila hujan lebat. Jadi, kami memperdalam sawah terbiar dan membersihkan perparitan sedia ada bagi mengelakkan air hujan melimpah ke rumah- rumah berdekatan,”  ujarnya.

MPKK memulakan langkah mengawal kawasan yang berpotensi dinaiki air.



Tag: